Cikgu Ngaji

IKUTI KAMI DI :

4 kelajuan bacaan Al Quran

4 Kelajuan Bacaan Al Quran

Pengenalan

Sebagai umat Islam kita diwajibkan untuk membaca surah Al Fatihah sekurang-kurangnya 17x sehari semalam. Namun sebenarnya, kita bukan sekadar dituntut untuk membaca semberono begitu sahaja. Seperti mana yang kami kongsikan di dalam penulisan terdahulu berkenaan ilmu tarannum, bacaan Al Quran juga terdapat beberapa tingkatan kelajuan bacaan Al Quran.

Oleh itu, dalam penulisan kami pada kali ini, kami akan memfokuskan terus kepada 4 kelajuan bacaan Al Quran yang digariskan oleh ulamak Al Quran.

Dalil membaca Al Quran dengan baik

Semenjak dari zaman Rasulullah S.A.W lagi sudahpun ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W bagaimana cara Baginda membaca Al Quran. Ini dapat dibukti dengan banyak hadis yang sahih di dalam kitab-kitab ulamak hadis.

Di dalam Al Quran turut menyebutkan;

وَرَتِّلِ القُرآنَ تَرتيلًا

Terjemahannya, “..dan bacalah Al-Quran dengan “Tartil”.” – (Surah Al Muzammil 73: Ayat 4)

Ibn Manzur menukilkan bahawa al-tartil bermaksud sebaik-baik bacaan, jelas dan terang, serta perlahan-lahan. Ibn ‘Abbas mentafsirkan bacaan yang jelas, terang makhrajnya serta perlahan-lahan. Sayyidina ‘Ali r.a pula berpendapat al-tartil ialah:

تجويد الِروف ومعرفة الوقوف

Maksudnya : Memperelokkan sebutan huruf dan mengetahui tempat-tempat waqf dan ibtida’. Ini bermakna bahawa al-tartil ialah bacaan yang penuh berhati-hati, sempurna tajwid dan makhraj dengan alunan bacaan yang menarik tanpa kegopohan.

4 Kelajuan Bacaan Al Quran

Bacaan Al Quran yang baik ialah bacaan yang tidak terlalu laju, tidak tergopoh gapah, tidak tergesa-gesa dan sempurna hak-hak hukum tajwidnya. Kelajuan bacaan Al Quran di dalam ilmu Al Quran disebut sebagai maratibul qiro’at Al Quran (مراتب القراءة القرءان). Dan penjelasannya adalah seperti berikut.

Bacaan Tahqiq

Bacaan tahqiq (التحقيق) ialah bacaan yang paling perlahan sekali dalam tingkatan kelajuan bacaan Al Quran. Biasanya bacaan ini diamalkan oleh mereka yang baru mula nak belajar tajwid.

وهو مثل الترتيل إلا أنه أكثر منه اطمئنانا.

Terjemahannya: Membaca seperti Tartil tetapi lebih tenang dan lambat.

Bacaan Tartil

Bacaan tartil (الترتيل) ialah bacaan yang paling sempurna seperti yang diterangkan sebelum ini. Bacaannya tidak terlalu laju dan tidak terlalu perlahan. Apabila didengari terasa ketenangan padanya, segala hak-hak huruf dan sifat-sifat huruf tidak diabaikan.

وهو القراءة بتؤدة واطمئنان وإخراج كل حرف من مخرجه مع إعطائه حقه ومستحقه مع تدبر المعاني.

Terjemahannya: Membaca dengan lambat dan tenang, mengeluarkan setiap huruf dari makhrajnya dengan memberikan sifat-sifat yang dimilikinya, baik asli maupun mendatang (hukumnya) serta memperhatikan makna ayat.

Bacaan Tadwir

Bacaan tadwir (التدوير) ialah bacaan yang sering kali kita semua gunakan di dalam solat. Terutamanya para imam yang membaca surah yang panjang-panjang. Bacaannya sedikit laju, akan tetapi tidak melanggar mana-mana hukum tajwid.

وهو مرتبة متوسطة بين الترتيل والحدر.

Terjemahannya: Tingkat pertengahan antara Tartil dan Hadar.

Bacaan Hadar

Bacaan hadar (الحدر) ialah bacaan yang paling laju dalam tingkatan kelajuan bacaan Al Quran. Bahkan, tidak ada lagi yang lebih laju daripada ini. Inilah bacaan yang diamalkan oleh semua huffaz Al Quran dalam menjaga hafalan mereka.

وهو الإسراع في القراءة مع مراعات الأحكام.

Ertinya: Membaca dengan cepat tetapi masih menjaga hukum-hukumnya.

Kesimpulan

Hendaklah kita ketahui bahawa, semua jenis tingkatan kelajuan yang disenaraikan di atas tidak akan sama sekali melanggar mana-mana hukum tajwid yang telah ditetapkan oleh para ulamak Al Quran. Setiap hak-hak huruf dan sifat-sifat huruf hendaklah dijaga agar tidak tercicir. Semua ini bagi menjaga kesahihan dan ketulenan ayat Al Quran yang turun kepada umat ini.

Tingkatan kelajuan bacaan Al Quran akan bermula dari Tahqiq, seterusnya Tartil, seterusnya Tadwir dan yang terakhir ialah Hadar.


Rujukan

Tingkatan Bacaan al-Quran. ULUM QURAN. (2009, April 30). Retrieved February 14, 2023, from http://ulumquran.blogspot.com/2009/05/tingkatan-bacaan-al-quran.html

1 thought on “4 Kelajuan Bacaan Al Quran”

  1. Pingback: 4 kesalahan tajwid ini orang buat ketika membaca Al Quran - Cikgu Ngaji

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *