Cikgu Ngaji

IKUTI KAMI DI :

4 kesalahan tajwid ketika membaca al quran

4 kesalahan tajwid ini orang buat ketika membaca Al Quran

Menguasai tajwid adalah suatu keperluan untuk kita membaca Al Quran dengan baik. Pun begitu, ramai orang yang masih struggle dengan kesalahan kesalahan yang biasa terjadi yang memberikan kesan untuk membaca Al Quran dengan baik. Kali ini kami akan menyenaraikan 4 kesalahan tajwid dan cara untuk mengelaknya.

Kesalahan Tajwid Pertama: Mengabaikan hukum nun sakinah dan tanwin

Kesalahan tajwid yang biasa berlaku: Nun sakinah dan tanwin tidak sempurna

Definisi nun sakinah ialah huruf nun yang tidak berbaris. Huruf ini kekal pada bacaan dan tulisan dan jugak tetap ada ketika bacaan wasal dan waqaf.

Definisi tanwin pula ialah huruf nun tambahan yang tidak mempunyai baris. Huruf ini wujud pada bacaan tetapi tidak wujud pada penulisan.

Apabila kita berbicara mengenai hukum nun sakinah dan tanwin ini, maka kita sudah pun sedia maklum bahawa ianya pasti tentang dengung! Setuju? Ya, inilah hukumnya apabila nun sakinah dan tanwin bertemu dengan 28 huruf hijaiyah dan terbahagi kepada 4.

4 hukum nun sakinah dan tanwin

Terdapat 4 hukum bacaannya iaitu;

NamaDefinisiHuruf-huruf
IzharBahasa: nyata/jelas
Istilah: mengeluarkan huruf dari makhrajnya tanpa dengung dan saktah
ء , ه , ع , غ , ح , خ
IdghamBahasa: memasukkan
Istilah: pertemuan huruf yang tidak berbaris dengan huruf yang berbaris yang menjadikan huruf kedua bertasydid dan terangkat lidah ketika menyebut.
ي , و , م , ن , ل , ر
IqlabBahasa: memalingkan
Istilah: menukarkan tiap-tiap huruf Nun Sakinah dan Tanwin kepada Mim yang ringan serta dikekalkan dengungnya.
Dalam Kitab Fathul Murid halaman 40 ada menyebutkan bahawa : “Apabila bertemu Nun Sakinah dan Tanwin dengan Ba’ ditukarkan Nun Sakinah atau Tanwin kepada Mim dan dikekalkan dengung dan Ikhfa dengan erti tidak menukarkannya menjadi Mim yang sempurna bahkan tidak boleh tidak bahkan kamu hendaklah mengurangi kesannya pada pertuturan iaitu kamu membuka sedikit dua bibir dalam keadaan yang ringan ketika melafazkan hukum tersebut.”
ب
IkhfakBahasa: menyembunyikan
Istilah: menuturkan Nun Sakinah dan Tanwin diantara Izhar dan Idgham tanpa bertasydid serta kekal dengungnya. Manakala lidah tidak terangkat daripada Makhrajnya dan tidak pula melekat pada pangkal gigi hadapan.
ت, ث, ج, د, ذ, ز, س, ش, ص, ض, ط, ظ, ف, ق, ك

Kesalahan yang ketara berlaku ialah keadaan yang tidak sepatutnya kita dengung, kita dengungkan. Manakala bacaan yang sepatutnya kita dengung kita tidak dengungkan. Habis kucar kacir bacaan Al Quran kita. Semua kita langgar tanpa mematuhi disiplin membaca Al Quran yang sebenar.

Untuk mengelakkan kesalahan ketika membaca nun sakinah dan tanwin ialah kita perlulah menghafal dan memahami bacaannya. Bahkan di dalam Al Quran sendiri para ulamak telah membezakan cara bacaan nun sakinah dan tanwin ini dengan memberikan tanda yang berbeza untuk kedua-duanya.

hukum mad

Gambar: Jom Tajwid

Kesalahan Tajwid Kedua: Tidak menekankan bacaan huruf mad

Mengelak kesalahan biasa dalam tajwid: Tidak menekankan huruf Mad

Definisi mad dari segi bahasa ialah menambahkan atau memanjangkan. Manakala dari segi istilah pula ialah memanjangkan suara pada huruf-huruf mad dan lin dengan kadar 2 hingga 6 harakat.

Terdapat tiga huruf mad;

HurufKeadaan
AlifHuruf yang sakinah, sebelumnya terdapat huruf yang berbaris atas
WawHuruf yang sakinah, sebelumnya terdapat huruf yang berbaris hadapan
Ya’Huruf yang sakinah, sebelumnya terdapat huruf yang berbaris bawah

Terdapat dua huruf lin;

HurufKeadaan
WawHuruf yang sakinah, sebelumnya terdapat huruf yang berbaris atas
Ya’Huruf yang sakinah, sebelumnya terdapat huruf yang berbaris atas

Kesalahan yang ketara ketika membaca mad ialah kita memanjangkan bacaan yang tidak panjang dan sebaliknya. Di dalam Al Quran panjang dan pendek memainkan peranan yang penting kerana apabila kita sengaja menambahkan huruf atau mengurangkan huruf ia akan mengubah makna perkataan tersebut.

Cara untuk mengelakkan kesalahan bacaan panjang pendek ini, kita hendaklah menghafal 3 huruf mad yang disenaraikan di dalam jadual di atas dengan keadaannya. Maka selain dari itu tidak perlulah kita panjangkan bacaan.

Terdapat satu lagi keadaan yang akan menatijahkan kesilapan panjang pendek ini iaitulah lagu yang kita gunakan untuk membaca Al Quran. Pemilihan lagu atau gaya membaca Al Quran turut mempengaruhi, hal ini disaksikan sendiri oleh kami dan untuk menegur kesalahan ini amat sukar. Kerana lagu dan gaya bacaan itu sudah sebati dengan si pembaca. Maka, moleklah kiranya ita belajar tarannum secara murottal yang mana gaya bacaan kita akan menjadi lebih disiplin dan sedap didengari.

Kesalahan Tajwid Ketiga: Tidak konsisten mengaplikasikan hukum-hukum tajwid

Cara Mengelakkan Kesilapan Biasa dalam Tajwid: Penggunaan Peraturan yang Konsisten.

Antara sebab kenapa kita perlu konsisten membaca Al Quran dengan hukum tajwid kerana Allah sudah memerintahkan di dalam Al Quran untuk dibacanya dengan tartil. Hal itu kami telah kami nyatakan dalam posting sebelum ini.

Baca sini

Apa yang dapat kita katakan mengenai tidak konsisten ini ialah bacaan yang tidak mematuhi disiplin tajwid. Sedari awal hinggalah kita selesai membaca Al Quran. Ada yang kita dengung, ada yang kita panjangkan, ada yang kita pendekkan, ada yang kita tidak dengung, ada yang tidak cukup kadar dengung, ada yang tidak cukup kadar panjang, kadang kadang dalam satu ayat itu panjang untuk dua kalimah yang berbeza tidak konsisten.

Maka kita sewajarnya perlu mengelak perkara-perkara begini. Namun tidak ramai yang ada usaha dan inisiatif untuk memperbaiki bacaan sendiri. Sedangkan dalam ilmu tajwid ini terdapat kesalahan yang akan menyebabkan kita berdosa.

Kesalahan Tajwid Keempat: Tidak memberikan perhatian kepada hukum waqaf dan ibtidak

Mengelakkan kesalahan biasa dalam tajwid: Memahami hukum hakam wakaf dan ibtidak

Definisi waqaf dan ibtidak terbahagi kepada dua;

Nama bacaanDefinisi
WaqafBahasa: berhenti/menahan
Istilah: Menghentikan bacaan dengan cara memutuskan suara di akhir perkataan sekejap untuk bernafas dengan niat akan menyambung bacaan semula.
IbtidakBahasa: bermula
Istilah: Menyambung bacaan semula sesudah menghentikan bacaan sementara kerana bernafas.

Para ulamak berbeza pendapat dalam meletakkan nama waqaf dan jumlah bilangannya. Namun begitu, tidak ada satu pun bacaan di dalam Al Quran yang kita WAJIB BERHENTI. Oleh itu, kita perlulah menguasai hukum waqaf dan ibtidak ini agar bacaan kita lebih menepati makna Al Quran tersebut.

Hal ini kerana, terdapat tempat yang kita haram berhenti, dan ada tempat yang kita haram bermula. Dan hal ini melibatkan keupayaan kita berbahasa Arab. Terdapat 17 tempat yang haram kita waqaf di dalam Al Quran menurut Qiro’at Imam ‘Asim dari riwayat Imam Hafs (mazhab Al Quran yang diamalkan di Malaysia). Sekiranya kita sengaja berhenti sedangkan kita tahu maknanya, maka ada berdosalah kita.

Sebab itulah kita perlu memberikan perhatian terhadap hukum waqaf dan ibtidak ini.

Kesimpulan

Telah kami senaraikan di atas 4 kesalahan tajwid yang biasa terjadi ketika kita membaca Al Quran. Kesalahan itu ialah mengabaikan hukum nun sakinah dan tanwin, tidak menekankan huruf-huruf mad, tidak konsisten mengaplikasikan hukum-hukum tajwid, dan tidak memberi perhatian kepada hukum waqaf dan ibtidak.

Untuk mengelakkan semua kesalahan ini daripada berlaku, maka tidak dapat tidak kita hendaklah mengukuhkan diri kita dengan ilmu tajwid. Terdapat banyak sekali kelas-kelas Al Quran yang dianjurkan samada secara percuma atau berbayar yang ada di Malaysia ini. Daftarlah diri kita untuk memperbaiki bacaan Al Quran kita. Bukan untuk sesiapa pun, tetapi untuk diri kita juga. Mudah-mudahan kita semua dapat menjaga diri kita daripada melakukan 4 kesalahan tajwid yang biasa berlaku ketika membaca Al Quran ini


Rujukan

Ardzi, S. (2008, October 5). Mengenal Waqaf Dan Ibtida’. Ahli Quran. Retrieved April 17, 2023, from http://ahliquran.blogspot.com/2008/10/mengenal-waqaf-dan-ibtida.html#

Bahagian-Bahagian Madd. Bahagian-bahagian Madd. (2012, May). Retrieved April 17, 2023, from http://tajwidfurqan.blogspot.com/2012/05/bahagian-bahagian-madd.html

Nun Sakinah Dan Tanwin. Nun Sakinah dan Tanwin. (2012, May). Retrieved April 17, 2023, from http://tajwidfurqan.blogspot.com/2012/05/nun-sakinah-dan-tanwin.html

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *