Cikgu Ngaji

IKUTI KAMI DI :

ilmu tajwid

Ilmu Tajwid

Pengenalan Ilmu Tajwid

Semenjak daripada dahulu lagi warisan turun temurun orang-orang Melayu akan pergi ke rumah tok tok guru di kampung untuk belajar mengaji. Belajar mengaji di sini membawa erti belajar membaca Al Quran dengan tajwid yang betul. Penulisan pada kali ini kami ingin menyampaikan kepada anda berkenaan Ilmu Tajwid.

Kami teringat sewaktu kami masih belajar dahulu, apabila baca sahaja Al Quran pasti akan ditegur oleh ustaz atau ustazah, “Tak cukup panjang tu!,” ataupun, “Eh, ni kena dengung ni!”, “Sini tak boleh dengung!”, “Ghairil maghdhub bukan khairil maghdhub”, dan bermacam-macam lagi teguran yang masih terngiang-ngiang di fikiran. Rindu pulak nak balik ke zaman itu.

Sedikit sebanyak kami dah berkongsi gambaran besar apa sebenarnya ilmu tajwid ini.

Definisi Ilmu Tajwid

Mari kita lihat apakah definisi Ilmu Tajwid yang diberikan oleh salah seorang ulamak besar dalam bidang qiraat iaitulah Al Imam Ibnu Al Jazari.

Imam Ibn al-Jazari (751H-833H) berkata:

فَالتَّجْوِيدُ هُوَ حِلْيَةُ التِّلَاوَةِ، وَزِينَةُ الْقِرَاءَةِ، وَهُوَ إِعْطَاءُ الْحُرُوفِ حُقُوقَهَا وَتَرْتِيبُهَا مَرَاتِبَهَا، وَرَدُّ الْحَرْفِ إِلَى مَخْرَجِهِ وَأَصْلِهِ، وَإِلْحَاقُهُ بِنَظِيرِهِ وَتَصْحِيحُ لَفْظِهِ وَتَلْطِيفُ النُّطْقِ بِهِ عَلَى حَالِ صِيغَتِهِ، وَكَمَالِ هَيْئَتِهِ ; مِنْ غَيْرِ إِسْرَافٍ وَلَا تَعَسُّفٍ وَلَا إِفْرَاطٍ وَلَا تَكَلُّفٍ

Maksudnya: Tajwid adalah perhiasan bagi tilawah (bacaan), iaitu memberikan huruf-huruf hak mereka dan susunan mereka berdasarkan kedudukan mereka, dan meletakkan atau memulangkan huruf pada tempat keluarnya dan pada asalnya, dan melampirkannya dengan apa yang seumpamanya, dan membetulkan lafaznya, dan melembutkan sebutannya berdasarkan kepada bentuknya, dan juga keadaannya, tanpa melebih-lebih dan juga terkurang.

(Lihat: Al Nasyru fi Al Qira’at Al ‘Asyr; 1/212)

Maka disebabkan itulah apabila kita membaca Al Quran, kita akan sering ditegur dari segi sifat hurufnya, panjang pendeknya, dengungnya dan pelbagai lagi.

Hukum Belajar Ilmu Tajwid

Sekarang kita ingin pula mengetahui apakah hukumnya mempelajari ilmu tajwid ini. Merujuk sebuah kitab berjudul Fathu Rabb Al Bariyyah Syarah Al Muqaddimah Al Jazariyyah fi ‘ilmi Al Tajwid; 1/49.

“Mempelajari ilmu tajwid merupakan fardhu kifayah, yakni jika ada sebahagian sudah mempelajarinya, maka gugur kewajipan ke atas mereka yang lain, namun membaca al-Quran dengan bertajwid merupakan suatu kelaziman dan kemestian, dengan kata sesiapa yang tidak menjaga tajwid ketika membacanya maka berdosalah dia.”

Pembahagian hukum oleh ulamak masa kini

Ulamak masa kini membahagikan hukum membaca Al Quran dengan bertajwid ini kepada dua iaitulah wajib syar’ie dan wajib sina’ie. Hal ini boleh dirujuk dalam kitab Al Mausu’ah Al Fiqhiyyah Al Kuwaitiyyah; 10/179.

Wajib Syar’ie

Kewajipan mempelajari asas tajwid yang jika ditinggalkan boleh membawa kepada perubahan makna atau kerosakan pada makna.

Wajib Sina’ie

Apa yang diwajibkan ke atas ahli ilmu tersebut untuk menyempurnakan lagi bacaan al-Quran, dan ia adalah sepertimana yang disebut oleh para ulama’ dalam kitab-kitab tajwid seperti idgham, ikhfa’ dan sebagainya, dan jenis ini jika ia ditinggalkan daripada mempelajarinya tidaklah berdosa.


Baca Juga:


Hukum Membaca Al Quran dengan Ilmu Tajwid

Di dalam kitab Al Muqaddimah Al Jazariyyah, Imam Al Jazari ada menulis;

وَالأَخْذُ بِالتَّجْوِيدِ حَتْمٌ لازِمُ … مَنْ لَمْ يُجَوِّدِ الْقُرَآنَ آثِمُ

Maksudnya: Dan mengambil (membaca) dengan tajwid adalah wajib, barangsiapa yang tidak memperelokkan al-Quran (bacaannya) maka dia berdosa.

Ketika mensyarahkan matan bapanya itu

وذلك واجب على من يقدر… لأن الله تعالى أنزل به كتابه المجيد ووصل من نبيه عليه الصلاة والسلام متواترا بالتجويد قوله: (من لم يصحح القرآن) أي من لم يصحح القرآن مع قدرته على ذلك فهو آثم عاص

Maksudnya: Kewajipan ini adalah pada mereka yang mampu,…kerana Allah S.W.T menurunkan kitabNya dan telah sampai (kepada kita) daripada NabiNya S.A.W dengan bertajwid secara mutawatir, dan pada ayat barangsiapa yang tidak membaca al-Quran dengan baik sedangkan dia mampu, maka dia berdosa dan telah melakukan kemaksiatan.

(Lihat: Syarah Toyyibatu Al Nasyr li Ibn Al Jazariyy; hlm.35)

Ini juga kerana wujudnya sebuah hadith Nabi Muhammad S.A.W:

«الْمَاهِرُ بِالْقُرْآنِ مَعَ السَّفَرَةِ الْكِرَامِ الْبَرَرَةِ، وَالَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَتَتَعْتَعُ فِيهِ، وَهُوَ عَلَيْهِ شَاقٌّ، لَهُ أَجْرَانِ»

Maksudnya: Seorang yang mahir dalam membaca al-Quran bersama al-Safarah al-Kiram al-Bararah dan bagi yang membaca al-Quran namun tersangkut-sangkut dan berasa susah buatnya maka untuknya itu dua ganjaran.

Riwayat Muslim (798)

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa dua ganjaran yang diperolehi itu adalah kerana pertamanya bagi pembacaannya itu dan yang keduanya disebabkan kepayahannya dalam membaca al-Quran. (Lihat: Syarah Al Nawawi ‘ala Muslim; 6/84-85).

Kesimpulan

Mempelajari Ilmu Tajwid merupakan fardhu kifayah, jika sebahagian sahaja umat Islam mempelajarinya maka kita sudah terlepas daripada tuntutan mempelajarinya. Akan tetapi untuk membaca Al Quran, maka kita semua diwajibkan untuk membacanya dengan bertajwid.


Rujukan

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-482: HUKUM MEMBACA AL-QURAN DENGAN BERTAJWID. (2020, April 2). Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/4409-irsyad-al-fatwa-siri-ke-482-hukum-membaca-al-quran-dengan-bertajwid

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *