Cikgu Ngaji

IKUTI KAMI DI :

ilmu-tarannum

Ilmu Tarannum: Pengenalan dan sejarah di Malaysia

Pengenalan Ilmu Tarannum

Kemunculan Akademi Qurra’ anjuran TV Al Hijrah pada tahun 2023 kali ini sangat bermanfaat buat tontonan seluruh masyarakat Islam di Malaysia. Di dalam program ini para peserta akan diuji dengan kemahiran mereka dalam ilmu tarannum yang mana para peserta masing-masing akan diberikan masa kurang lebih 3 minit untuk mengaplikasikan ilmu tarannum mereka dengan potongan ayat yang diberikan oleh juri.

Suara peserta yang lunak dan memukau itu tidak dapat tidak pasti dapat menjentik hati para penonton untuk mencari-cari apakah itu ilmu tarannum, siapa yang mengasaskannya dan pelbagai lagi persoalan yang lain.

Oleh itu, kami berasa terpanggil untuk menulis kepada anda pengenalan kepada Ilmu Tarannum, jenis-jenis lagu tarannum, sejarah dan perkembangannya, dan qari qariah yang hebat dan masyhur di Malaysia.

Definisi Ilmu Tarannum

Perkataan tarannum berasal daripada Bahasa Arab yang telah diserap ke dalam Bahasa Melayu. Dari sudut bahasa perkataan tarannum (ترنم)ini membawa maksud menyanyi, mendendang dan memperelokkan suara terhadap sesuatu.

Dari segi istilah pula perkataan tarannum ini merupakan suatu ilmu atau kaedah yang membicarakan tentang kepelbagaian bunyi melalui proses-proses seperti nada, rentak, dan irama yang tertentu yang bertujuan untuk menambahkan kemerduan sesuatu bacaan Al Quran.

Di negara Malaysia, istilah tarannum ini telah pun diserap dan menjadi sinonim oleh masyarakat Muslim dengan merujuk kepada Tarannum Al Quran iaitu lagu-lagu Al Quran atau seni lagu Al Quran. Berbeza pula di negara-negara arab, kerana istilah ini tidak masyhur di sana. Hal ini kerana mereka lebih gemar menggunakan istilah seperti An Nagham (النغم) dan Al Maqomat (المقامات) yang turut merujuk kepada maksud Tarannum Al Quran.

Sejarah Ilmu Tarannum

Mengikut dapatan daripada pengkaji sejarah, kemunculan Ilmu Tarannum telah bermula sejak zaman Rasulullah S.A.W lagi. Khususnya semenjak kedatangan Islam terhadap masyarakat Arab jahiliah. Seni lagu ini memang tidak dapat dipisahkan daripada mereka bahkan mereka amat meminati seni lagu.

Ibn Al Arabi ada menerangkan bahawa masyarakat Arab ini sentiasa mengalunkan lagu baik ketika menunggang kuda, ketika berjalan, ketika duduk atau berehat di bawah pokok atau sedang bekerja. Namun apa bila Islam datang, maka Rasulullah telah menggalakkan para sahabat untuk memindahkan budaya tersebut dengan membaca Al Quran secara bertarannum.

Asal usul tarannum adalah diilhamkan dari beberapa unsur alam seperti bunyi-bunyian geseran kayu, dari bunyi-bunyian tiupan angin, dari bunyi-bunyian kicauan burung, dan bunyi-bunyian air yang mengalir. Seterusnya bunyi-bunyian ini digubah menjadi seni lagu oleh penyair-penyair untuk dijadikan berbagai-bagai irama tarannum mengikut budaya masing-masing.

Ilmu Tarannum sampai ke Malaysia

Sampainya ilmu tarannum ini ke Malaysia ataupun lebih tepat lagi di kepulauan Melayu ini dipercayai melalui pedagang-pedagang Arab yang datang ke sini untuk berdagangan seiring dengan kedatang Al Quran. Pengajian tarannum dengan Al Quran pula disebarkan oleh pedagang-pedagang Islam dari negara Arab ke kepulauan Melayu atau nusantara ini bermula pada kurun pertama hijrah iaitu kurun ke-7 Masihi atau 648 Masihi semasa pemerintahan khalifah-khalifah Bani Umayyah berkuasa di negara Arab.

Pengajian ilmu tarannum dengan Al Quran menjadi hiburan yang berakar umbi di nusantara terutama pada kurun ke-10 hingga ke-15 Masihi, iaitu sebelum kedatangan penjajah barat seperti Portugis, Belanda, Inggeris, Siam dan Jepun.

Lagu-lagu dalam Ilmu Tarannum

Pembacaan Al Quran secara berlagu yang mutawatir (diturunkan daripada seorang ke seorang tanpa putus) dengan mengikut lahjah (dialek) Arab terbahagi kepada dua aliran iaitu yang berirama Arab Hijaz dan lagu-lagu yang berirama Arab Misri.

Aliran-aliran dalam Ilmu Tarannum

Ilmu Tarannum Aliran Arab Hijaz

Lagu berirama Hijaz ini juga dikenali dengan sebagai lagu Makkawi yang mana ianya berasal dan berkembang di Makkah dan di sekitar semenanjung Arab di bahagian timur yang dikenali sebagai Hijaz. Masyarakat Arab Hijaz biasanya membaca Al Quran dengan berpandukan kepada asas-asas lagunya (ترنم أصول), yang terumus dengan singkatan Bihumrin Jasad (بحمر جسد);

  1. Huruf Ba’ (ب) – Lagu Banjakah
  2. Huruf Ha’ (ح) – Lagu Husaini
  3. Huruf Mim (م) – Lagu Mayyah
  4. Huruf Ro’ (ر) – Lagu Rakbi
  5. Huruf Jim (ج) – Lagu Jaharkah
  6. Huruf Sin (س) – Lagu Sikah
  7. Huruf Dal (د) – Lagu Dakkah

Selain daripada lagu-lagu di atas, terdapat juga lagu-lagu lain yang didendangkan oleh masyarakat Arab Hijaz.

Ilmu Tarannum Aliran Arab Misri

Lagu berirama Arab Misri merupakan lagu -lagu Arab ala Mesir yang tumbuh berkembang subur di lembah Nil. Lagu berirama Misri ini lebih diterima dan lebih popular jika nak dibandingkan dengan lagu Makkawi atau lagu berirama Hijaz. Bahkan, dapat dikatakan hampir seluruh negara Islam kini mengalunkan lagu berirama Arab Misri ini.

Manakala lagu-lagu berirama Hijaz boleh dikatakan jarang-jarang sekali dialunkan oleh para Qurra’. Lagu berirama Misri ini mempunyai asas-asas lagu yang telah ditetapkan, iaitu sebanyak tujuh lagu dengan rumus Bihushrin Jasad (بحصر جسد);

  1. Huruf Ba’ (ب) – Lagu Bayyati
  2. Huruf Ha’ (ح) – Lagu Hijaz
  3. Huruf Shod (ص) – Lagu Soba
  4. Huruf Ro’ (ر) – Lagu Rast
  5. Huruf Jim (ج) – Lagu Jiharkah
  6. Huruf Sin (س) – Lagu Sikah
  7. Huruf Dal (د) – Lagu Nahawand

Tujuh lagu ini dianggap sebagai lagu asas atau lagu pokok di Nusantara ini. Selain daripada tujuh lagu tersebut, sebenarnya masih banyak lagi lagu-lagu yang terkenal yang dianggap sebagai lagu cabang daripada lagu-lagu di atas.

Jenis-jenis tarannum Al Quran

Di Malaysia, tarannum yang popular dan biasa didendangkan oleh para qurra’ adalah lagu yang berirama Misri. Lagu-lagu tarannum itu ialah Bayyati, Hijaz, Soba, Rast, Jiharkah, Sikah, dan Nahawand. Setiap lagu ini mempunyai sifat serta peranannya yang tersendiri.

Tarannum Bayyati

AsalSifatPeranan
1. Berasal daripada perkataan Arab iaitu (بيت) yang bererti rumah.
2. Pada istilah tarannum pula ia adalah satu jenis alunan yang dipopularkan oleh qurra’ Arab terutamanya dari Mesir
1. Halus dan lembut
2. Lembut disamping tegas
3. Harmoni dan tenang
4. Sesuai sebagai pembuka dan penutup bacaan
1. Memantapkan bacaan
2. Tarannum pembukan dan penutup
3. Membawa kefasihah huruf-huruf Al Quran
Mempelbagaikan corak dan bunyi
4. Memberi tenaga yang sesuai dengan bunyi

Tarannum Hijaz

AsalSifatPeranan
1. Berasal daripada tanah Hijaz Mekah
2. Belum diketahui siapa yang memberikan namanya
3. Dikembangkan di Mesir dan dinamakan Hijaz Misri
1. Lembut dan berkesan
2. Tegas dan bersemangat
1. Sesuai untuk ayat berunsuh perintah, larangan, marah, dan sewaktu dengannya
2. Memberi semangat dalam bacaan
3. Memberi kepuasan kepada pendengar
4. Memberikan tenaga
5. Membawa ketegasan

Tarannum Soba

AsalSifatPeranan
1. Berasal dari satu daerah di Syria
2. Bererti rindu
1. Ringan, cepat dan mendatar
2. Lembut, syahdu, dan mendayu-dayu
1. Menggambarkan rintihan, memohon, dan merayu
2. Meredakan ketegangan jiwa
3. Mendatangkan ketenangan
4. Mendatangkan khusyuk dan insaf
5. Mendatangkan kelembutan dan kefasihan

Tarannum Rast

AsalSifatPeranan
1. Terdapat perbezaan pendapat mengenai asal usulnya
2. Ustaz Nik Jaafar bin Nik Ismail mengatakan ia berasal dari Parsi (Iran kini) yang telah diubah suai oleh orang Mesir
3. Dr. Sayid Agil Husain al-Munawwar berpendapat ia berasal dari dari nama sebuah bandar Ras راس( ),
kemudian, setelah lagu ini sampai ke Hijaz, perkataan (راس ) tersebut ditambah dengan huruf Ta’ (رست ) di belakangnya sehingga namanya menjadi (رست )
4. Dr. Muhsin Salim berpendapat ia berasal dari nama Rasydah. Kata-kata ini berasal daripada ungkapan yang berbunyi Hadza Rast ( هذارست), atau Dza Rast (ذاراست ) akhirnya menjadi Rasydah (رشدة ) atau Rast.
1. Lebut disamping tegas
2. Ringan geraknya
3. Alunan yang lembut
4. Lincah dan bersemangat
5. Sesuai dengan sebarang ragam
1. Memberikan semangat kepada bacaan
2. Memberi kepuasan kepada pembaca dan pendengar
3. Memberi tenaga kepada lagu-lagu yang akan dibaca selepasnya
4. Membantu menyampaikan mesej Al Quran

Tarannum Jiharkah

AsalSifatPeranan
1. Menurut Nik Jaafar ia berasal daripada Parsi (Iran kini) dan diubah suai oleh Qurra’ di Hijaz
2. Mohd Ali berpendapat ia berasal dari benua afrika
1. Gerak ringan
2. Kelembutan menusuk kalbu
3. Tenang dan harmoni
1. Sesuai dengan ayat-ayat rintihan, rayuan dan memohon
2. Meredakan ketegangan bacaan
3. Melembutkan persembahan bacaan
4. Mendatangkan rasa syukur dan insaf

Tarannum Sikah

AsalSifatPeranan
1. Nik Jaafar dan Mohd Ali berpendapat ia berasal daripada negara Parsi (Iran kini) bermaksud gemerincing gitar
2. Pendapat lain mengatakan ia berasal dari satu daerah semenanjung tanah Arab dengan Iran dan Afghanistan
1. Gerak lambat
2. Lembut menusuk kalbu
3. Sedih dan merintih
1. Sesuai dengan ayat rintihan, rayuan, pujukan dan harapan
2. Melembutkan bacaan
3. Mendatangkan rasa syukur dan insaf

Tarannum Nahawand

AsalSifatPeranan
1. Nik Jaafar dan Mohd Ali berpendapat perkataan Nahawand (نهاوند) adalah nama bagi suatu tempat yang terletak di daerah Hamadanَ (همدان) , Parsi (Iran kini)1. Gerak yang ringan
2. Lemah lembut dan mengharukan
1. Sesuai dengan ayat memohon, bercerita, gembira dan sedih
2. Melembutkan bacaan
3. Menenangkan jiwa pembaca dan pendengar

Rujukan

NURUL AUJI HASBULLAH, AHMAD SANUSI AZMI, ADNAN MOHAMED YUSOFF, & NORASIKIN FABIL. (n.d.). Ilmu Tarannum Di Malaysia : Amalan Dan Kaedah Melagukannya. Thiqah. Retrieved February 13, 2023, from http://conference.kuis.edu.my/thiqah/e-prosiding/e-prosiding/e-prosiding-2019/isi-kandungan-2020.

5 thoughts on “Ilmu Tarannum: Pengenalan dan sejarah di Malaysia”

  1. Pingback: 4 Kelajuan Bacaan Al Quran - Cikgu Ngaji

  2. Pingback: Huruf-huruf Hijaiyah - Cikgu Ngaji

  3. Pingback: Ilmu Tajwid - Cikgu Ngaji

  4. Pingback: Tobaqat suara dalam tarannum - Cikgu Ngaji

  5. Pingback: Ini 3 tips jaga suara dari qari lagenda - Cikgu Ngaji

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *