Cikgu Ngaji

IKUTI KAMI DI :

tobaqat suara dalam tarannum

Tobaqat suara dalam tarannum

Pengenalan tobaqat suara

Pernah tak kita terfikir,apabila kita nak bercakap dengan orang mesti akan ada intonasi dan nada suara yang kita gunakan. Kalau kita nak bergosip kita akan berbisik perlahan-lahan, kalau kita nak marah anak kita akan meninggikan suara, kalau nak panggil kawan yang jauh kita akan menjerit dan pelbagai lagi nada nada suara yang kita gunakan tanpa kita sedar dalam aktiviti sehari-harian kita. Inilah yang kita sebutkan sebagai tobaqat suara.

Ya, nada suara yang berbeza-beza ini pun wujud di dalam tarannum. Dah namanya pun tarannum, sudah pastinya tingkatan-tingkatan suara ini akan menjadi asam garam dalam menyampaikan lantunan ayat suci Al Quran. Dalam penulisan kali ini kami akan berkongsikan tobaqat suara dalam tarannum.

Tingkatan-tingkatan suara dalam tarannum

Tobaqat merupakan bahasa arab (طبقة) yang dipinjam ke dalam bahasa Melayu dan istilah seringkali digunakan dalam aktiviti terkait dengan tarannum. Maksud tobaqat dalam istilah tarannum ialah tingkatan suara. Di dalam tarannum, tobaqat itu terbahagi kepada empat. Berikut adalah bahagian-bahagiannya.

Tobaqat qoror

Tobaqat suara yang paling rendah dalam tarannum disebut sebagai tobaqat qoror (قرار). Dalam tingkatan ini suara si pembaca akan berfungi di bahagian dada dan kedengaran dalam seumpama orang yang mempunyai suara bass dalam nyanyian. Namun harus diingatkan setiap pembaca akan mempunyai key sendiri dalam keadaan tobaqat qoror ini tidak kira lelaki ataupun perempuan.

Tobaqat nawa

Tobaqat suara tingkatan kedua dalam tarannum disebut sebagai tobaqat nawa (نوى). Dalam tingkatan ini suara si pembaca akan berfungsi di bahagian tekak dan kedengaran seperti bercakap biasa. Kebiasaannya kita semua akan menggunakan suara pada tobaqat nawa dalam perbualan seharian kita.


Baca Juga:


Tobaqat jawab

Tobaqat suara tingkatan ketiga dalam tarannum disebut sebagai tobaqat jawab (جواب). Dalam tingkatan ini suara si pembaca akan berfungsi di bahagian rongga hidung dan suara akan bertambah sedikit nyaring. Untuk menghasilkan suara ini maka si pembaca perlu menumpukan suaranya berada betul-betul di dalam rongga hidungnya. Untuk orang yang belum mahir, mereka sering tertukar antara suara tobaqat jawab dengan sengau.

Tobaqat jawabul jawab

Tobaqat suara tingkatan paling tinggi disebut sebagai tobaqat jawabul jawab (جواب الجواب). Dalam tingkatan ini suara pembaca akan berfungsi di bahagian rongga otak dan akan menjadi sangat nyaring. Kebiasaanya para pembaca akan meletakkan tangannya di mana-mana bahagian di mukanya untuk memfokuskan suara mereka pada rongga otak.

Kesimpulan

Kesimpulannya tobaqat suara dalam ilmu tarannum terbahagi kepada 4 tingkatan iaitulah qoror, nawa, jawab dan jawabul jawab. Untuk menyempurnakan semua tingkatan suara ini maka ianya memerlukan latihan yang sangat intensif setiap hari. Hal ini kerana suara merupakan anugerah Allah SWT yang dikurniakan kepada kita, ada orang yang memang dikurniakan suara yang sedap dan berkualiti ada yang sebaliknya. Oleh itu dengan latihan yang berulang-ulang dan intensif maka setiap hari kualiti suara pembaca akan semakin baik dan mantap.


Rujukan

(n.d.). Mengenal thobakot (tingkatan) suara. Majlis Raudhah Al-Tilawah. Retrieved April 5, 2023, from http://ustnikjaafar.blogspot.com/2008/10/mengenal-thobakot-tingkatan-suara.html

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *